Thursday 26 January 2023

Pengalaman mengambil lesen kereta (DA)

2 Comment(s) so far



Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Seperti yang dijanjikan pada post sebelumni, saya nak kongsi tentang pengalaman mengambil lesen kereta pulak.  Lesen kereta ni saya baru je dapat dalam tahun ni. Masih fresh di ingatan.

Untuk lesen kereta, saya ambil lesen kereta automatik (DA).

Sebab apa saya ambil lesen auto? Berikut antara sebabnya:

  1. Mudah untuk belajar
  2. Tak ada kereta manual untuk uji bawa
  3. Tak pernah bawak kereta sepanjang hidup
  4. Tak ada yang boleh tolong ajar bawa manual
  5. Lebih praktikal sebab plan memang nak bawa kereta auto sahaja
  6. Sejenis lambat nak pandai bila belajar praktikal

Okay itulah sebabnya mengapa saya amik auto. Saya sedar diri jenis susah sikit nak hadam dan paham benda-benda praktikal ni. Benda teori takda masalah. Setiap orang kan ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Lagipun 25 tahun hidup memang tak pernah belajar bawak kereta. Agak mustahil la untuk pandai bawa manual setelah keseluruhan kelas yang hanya 16 jam. Kalau kena ulang banyak kali dah kena korban banyak duit, masa dan tenaga. Jadi lebih baik amik auto. Beza harga pun RM100 sahaja.


Kenapa baru nak ambil lesen?

Sebab... baru ada modal nak daftar kelas.. Mahal ya sekarang nak ambil lesen. Tempat saya kena RM1,500 untuk lesen Auto. Bayaran 3 kali secara ansurans.  Nak suruh mak ayah sponsor memang takdan la. Mereka pun banyak nak guna duit. Selain itu, saya jenis duk terperap kat rumah je. Jenis tak berjalan sangat. Kalau ada benda mustahak boleh je Grab atau minta sesiapa hantarkan. Jadinya bila dah kerja ni rasa macam menyesal jugak tak amik dari dulu sebab bolehlah dapat murah sikit dan bila dah kerja ni masa pun takbanyak nak pergi kelas, otak pun dah tak setajam dulu nak belajar benda baru.


Daftar kelas dan ujian komputer

Saya daftar kelas tahun 2021, hujung tahun bulan 10. Selepas daftar terus pergi KPP01 dan pilih tarikh untuk ujian komputer. Kiranya 2 kali kena amik ujian komputer sebab tak ambil sekaligus dengan lesen motor.

Ujian komputer Alhamdulillah kalini lulus dengan jayanya. Salah 2 sahaja. Rasa confident boleh betul semua. Taktau mana satu yang salah tu. Bila dah lulus ujian komputer, dapatlah lesen L. Lesen L ni saya pi kutip lambat kat pusat memandu tu. Tengah tahun 2022 baru kutip 😂. Taktaulah kenapa takda mood nak buat lesen. Tu yang tertunda. Takpa lesen L 2 tahun baru mati. Steady lagi ada masa.


Kelas KPP02 dan KPP03

Total masa kelas 16 jam. KPP02 (litar) 7 jam dan KPP03 (jalanraya) 9 jam. Saya daftar setiap hari sabtu dan ahad. Bulan 9 tahun 2022 baru start sebab lambat daftar kelas dan baru terasa rajin nak start. Bermulalah fasa pembelajaran. Mula dari kosong memang pegang stereng pun tak pernahhh. Gear, brek dgn minyak pun baru tau kat mana. Punyalah ignorance pasal memandu ni kan sampai takpernah ambil tahu pun sebelumni 😅 Lagipun kereta sendiri memang tak ada pun. Jadi takda peluang sangat nak belajar. Disebabkan lambat nak catch up cara kawal stereng dan brek tu, dalam 4 jam kelas jugalah saya cuma pusing-pusing litar tanpa belajar apa-apa elemen. Cikgu kata kena mahirkan dua tu ja untuk Auto ni. Bila dah mahir takda masalah dah untuk buat kesemua elemen.


Elemen-elemen KPP02 kelas DA

Ada 6 elemen untuk litar. 

  1. Bukit
  2. Parking sisi
  3. 3 penjuru
  4. Selekoh Z
  5. Selekoh S
  6. Ramp (Tanjakan)
Tips dia kena ingat la keadaan litar tempat kita belajar tu.  Setiap elemen ada steps dia, jangan main lenjan ja. Masa bila nak kena pusing stereng, arah mana kena pusing, masa mana kena berhenti, gear apa nak guna, nak kena jaga-jaga kat mana dan sebagainya. Ikut je cakap cikgu masa ajar tu. Setiap litar berbeza taw. Kalau nak follow yang kat Youtube pun tak boleh ikut 100% sebab takut taksama dengan litar tempat kita belajar.

Ni saya share antara nota-nota yang saya buat untuk elemen di litar. Bukan untuk panduan la sebab susah nak paham apa saya tulis ni 😂 Tulisan cacing kerawit



Tiga penjuru

Ujian bukit JPJ

Parking sisi

Selekoh S, Z dan ramp


Ujian QTI oleh cikgu memandu

Lama juga saya ambil masa untuk kelas KPP02 dan KPP03. Tengah bulan 11 baru habis. Kira 2 bulan la masa untuk habiskan 16 jam tu. Saya banyak takdatang kelas sebab banyak pula hal nak kena buat masa sabtu ahad tu. Drag lah jadinya kena book masa baru. Bila dah tamat semua kelas kena lah QTI..

QTI setengah jam saya amik 27.11. Tak ready lagi sebenarnya tapi lantaklah teruskan saja. QTI saya tak berjalan dengan lancar. Banyak elemen tak lepas. Tapi, macam biasalah kepercayaan cikgu kat saya dia bagi je lulus QTI ni dan boleh dah book masa JPJ test.

Tapi saya sedar tak ready lagi nak JPJ. Jadinya saya tambah masa 2 jam sehari sebelum JPJ. Takpala labur sikit demi ilmu.


Ujian JPJ kali pertama

Tarikh JPJ saya dah booking 21.12. JPJ hari khamis. Hari rabu tu saya ada ambil tambahan kelas 2 jam. Dua hari kena cuti kerja. Nasib baik boss bagi cuti. Hari kejadian tu datang awal pukul 7.40am dah sampai. Tapi handphone tertinggal pulak kat rumah. Jadi memang duk berbual dengan calon lain la sepanjang masa menunggu tu. Nasib baik ada makcik sorang ni rajin melayan saya sibuk tanya itu ini sebab risau tak ingat.

Mula pukul 10am dgn RPM dan RSM. Alhamdulillah lancar je. Bila dah habis kena mula ujian KPP02.


Suasana semasa JPJ kereta


Saya calon ke 7 bagi kereta Auto. Jalan sekaligus bagi yang ambil manual dan auto. Bila tengok calon-calon lain buat memang terasa betul kerisauan tu ya. Gemuruh teruk sibuk mengucap je tenangkan diri.

Bila tengok ramai yang gagal lagilah takuttt. Inilah masalah bila ada penyakit Anxiety ni 😭 Asik pikir what if I fail? Sebelum mula dah pikir bukan-bukan memang mendapat la.

Tiba giliran sendiri, otak rasa macam dah kelain. Fokus pun entah kemana. Baru kat elemen pertama (bukit) dah failedd. Bukit boleh cuba 2 kali. Kali pertama tak masuk line. Saya undurlah balik. Sekali cubaan kedua pun samaa. Terus OUTT la cikgu amik kereta halau saya balik ke tempat menunggu.

Bila dah kat tempat menunggu tu barulah rasa conscious semula dan sedar yang saya dah GAGAL.

Pengajaran disini : Janganlah risau dan takut sangat. Pikir yang baik-baik sahaja. Tenangkan diri dan jangan kalut tanya itu ini dekat member lain. Ingat semula apa yang dah dipelajari. Doa dan berzikir. Kena letakkan pengharapan kepada Allah. Tawakal.


Bila dah gagal kenalah sedia untuk KPP03. Alhamdulillah KPP03 lulus je. Abang JPJ banyak tolong. Saya bawak tak berapa betul pun. Mungkin sebab kesian muka macam nak nangis je. hahaha

KPP03 asalkan takbuat kesalahan mandatori  (langgar lampu merah, lebih halaju, langgar line dan etc.) tu kira okay lah. Laluan semua abang JPJ yang tetapkan, kita ikut saja arahan.


Ujian JPJ kali kedua

Bila dah gagal, dah nak kena memikir pula bila nak ambil ujian JPJ semula. Dahla haritu dah ambil cuti 2 hari time kali pertama. Gagal pulakk. Jenuh ya. Tapi kena teruskan juga. Takboleh la mengalah kan. Kena bayar lagi sebab gagal. Ulangan kena bayar RM106, dapat tambah masa 1 jam. Saya rasa takcukup sejam tu jadi saya tambahla lagi sejam. Jadi ada masa 2 jam untuk saya pusing-pusing litar sebelum JPJ. Total saya labur untuk lesen ni RM1770+-. Demi sekeping lesen 😓


Tarikh JPJ kali kedua 19.12. Pilih tarikh ni sebab memang kena waktu cuti raya cina. Jadinya takperlu lah ambil cuti. Cumanya panjang sikitlah gap dengan tarikh JPJ yang sebelumnya. Tapi bagi saya takda masalah pun sebab lesen L saya bulan 2 baru mati. Yang penting kena sedia mental fizikal sebab kalini mindset memang WAJIB lulus walau apa pun yang terjadi.


Mula lah ujian JPJ. Kalini pun tetap datang awal. 7.30am dah terpacak disitu. Start pukul 10am dengan RPK dan RSM. Macam biasalah lancar je.

Harini tak ramai yang amik test. Untuk Auto yang ambil kali pertama dan ulangan ada 16 orang sahaja. Masa kali pertama saya JPJ tu ada dalam 30 orang.

Saya orang terakhir yang diuji. Dalam hati dah niat nak buat slowly and steady jaa. Saya bimbang dan takut juga sebab otak duk ulang-ulang mesti lulus kalini. Rasa macam ini cubaan hidup atau mati. Kalau lulus hidup, kalau gagal mati.

Alhamdullillah lulus JPJ kali kedua. Saya buat dengan berhati-hati. Memang fokus pada setiap elemen. Sebelum mula setiap elemen baca bismillah, baca doa tawakal, dan otak recall semula segala steps sebelum mula.


Dapat lesen P kelas DA

Maka tamatlah perjuangan saya di kelas memandu. Lepasni takda dah kot datang. Taktaula tu kalau tiba-tiba rasa nak ambil lesen B ka apa kan 😜 Boleh pi konvoi dengan abang-abang kacak.


Misi mendapatkan lesen selesai


Lega rasanya sebab dah selesai. Dah berjaya melalui suatu fasa yang berliku-liku dan mencabar. Tentunya suatu hari nanti akan tersenyum mengimbau semula kenangan ini. Satu bab dalam kehidupan yang dilalui oleh semua orang. Tetapi, pastinya setiap orang menghadapi situasi yang berbeza-beza. Ada yang mudah dan ada yang sukar.


Akhir kata, saya ucapkan buat yang sedang berjuang untuk mengambil lesen, semoga dipermudahkan segala urusanmu. Ingat satu benda yang pasti:


"Tiada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung." Doa kepadanya, letakkan kebergantungan kepadanya. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 


Jangan takut untuk mencuba. Sampai bila nak jadi penumpang saja. Perempuan kena tahu bawak kereta atau motor. Bolehlah kita berdikari. Takdela nak harapkan lelaki saja untuk hantar kemana-mana. Kalau ada situasi yang mendesak untuk kita memandu bolehlah kita diharapkan.


Sekian sahaja entri saya pada kali ini.

Assalamualaikum.

Friday 20 January 2023

Pengalaman mengambil lesen motor (B2)

Be the first to comment!
Lesen B2 motosikal

Assalamualaikum dan selamat sejahtera 😃

Lama sungguh tak menaip disini. Rasa kekok juga nak bercerita kat sini setelah lebih 5 tahun tinggal.

Saya terbuka hati untuk menulis entri tentang pengalaman mengambil lesen motor kelas B2.

Masa saya tengah dalam proses ambil lesen, saya kerap Google pengalaman dan tips untuk lulus ujian. Jadi, saya rasa entri seperti ini akan memberi manfaat kepada orang lain yang ingin tahu bagaimana suasana dan situasi yang dihadapi oleh orang lain yang telah selesai mendapatkan lesen.

Jujur saya kata, pengalaman saya mengambil lesen B2 ini penuh onak duri dan bukan perjalanan yang mudah. Sila teruskan baca untuk ketahui dengan lebih lanjut..


Saya ambil lesen motor bermula masa umur 23 (kira dah tua jugala baru nak ambil). Waktu ni tahun 2020. Daftar masa sebelum PKP lagi. Untuk makluman, saya tekad ambil lesen tanpa pernah bawak motor sekali pun. Dah daftar kelas tu barulah cuba bawa motor buat kali pertama.

Nama pun kali pertama... Imbangan badan, kawalan motor, gear, tuil minyak semua memang kelauttt. Ingatkan bawa motor ni macam bawa basikal je senang. Rupanya lain pula. Jadi disebabkan gagal imbang badan, ayah saya lah tolong duduk belakang kawal imbangan motor.


Ujian Komputer untuk lesen L

Jadi dua minggu selepas daftar kelas... Kena ambil ujian komputer... Time ni la baru start mengkaji pasal motor. Mana satu komponen, macam mana nak kasi gerak, papan tanda jalan, peraturan jalan dan sebagainya.. Saya memang taktau apa-apa pasal motor atau jalanraya. Kena tekun la belajar walaupun last minit.


Alhamdulillah lulus ujian komputer. Banyak juga salah. Lima rasanya salah 😂 takpala asal lulus.


Setelah lulus ujian komputer.. Dapatlah lesen L. Dah boleh daftar kelas untuk KPP 2 (Litar) dan KPP3 (Jalan raya).

Saya daftar kelas tu setiap ahad. Sebab time ni kerja 6 hari seminggu. Nak cukupkan waktu jam kelas  tu dalam 2 bulan jugalah boleh terus dapat lesen kalau dah pandai bawa dan terus lulus.


Hari pertama kelas di Litar

Sangat traumatik ya pengalaman pergi kelas pertama ni. Kalau ingat balik mesti rasa nak nangis 😭

Mula-mula kena belajar RPK, RSM. Saya takpandai bawa motor lagi time ni.. Jadi time kelas pertama ni ada nak terjatuh sebab rasa motor berat. Cikgu siap sound lagi "Sini tempat orang yang dah pandai bawak nak ambil lesen, bukan tempat baru belajar nak bawa". Then, abang sebelah tu duk sakat kata "Meh abang ajar bawa motor. Tapi abang kena duduk belakang la peluk". Trash betul nak ambil kesempatan pulak. Memang time kelas ni duk belajar imbang badan jela pusing-pusing kat litar tu. Cuba buat elemen selekoh tajam pun kelaut asik terlanggar batu penghadang.


Disebabkan pengalaman kelas pertama yang sangatlah burukkk.. Saya buat keputusan untuk tak pergi ke kelas kedua dan seterusnya. Saya ke pejabat bagitahu nak tunda dulu kelas. Nak belajar sendiri bagi pandai baru sambung.


Bermulalah episod belajar guna motor ayah...

Ayah pakai motor Honda Wave 125. Boleh tahan berat motor ni. Jadi setiap minggu saya bawa motor ayah kat depan rumah pusing-pusing belajar imbang badan dan kawal minyak dan brek. Kawalan badan dah makin okay. Cuma nak pusing-pusing, tukar gear masih takpandai..

Saya cuba juga bawa pusing kampung untuk lebih kurang 3 bulan la. Tapi mood nak belajar tu on off. Kadang rajin, kadang malas.. Bawa pusing-pusing kampung sampai nak termasuk rumah orang sebab minyak takkawal bila masuk simpang. Termasuk longkang waktu nak belok simpang.. macam-macam tragedi berlaku. Tula siapa suruh memandai belajar sendiri. Dah macam budak sekolah baru nak belajar bawa motor. Padahal dah tua..


Tapi satu fakta tentang saya ni. Saya takkan putus asa atau takut untuk mencuba. Makin orang kata takboleh, makin rasa nak buktikan yang saya boleh. Ini orang panggil ego tapi kearah positif.


Beli motor sendiri

Jadinya, bila dah pandai imbang badan saya sambungla kelas lesen saya. Dalam 2 kelas macamtu saya sambung.. Memandangkan PKP pun dah mula. Memang lamalah tunda kelas selepastu. Dengan trauma nya lagi. Jadi waktu ni saya buat keputusan untuk beli motor sendiri. Saya beli motor Honda Dash 125 untuk memudahkan saya belajar bawa motor. Saya beli cash, ayah ada topap sikit.


Honda dash 125
My baby blue


Dipendekkan cerita, tahun 2021 tengah bulan macamtu barula sambung dan nak habiskan penderitaan di kelas lesen. Tak mahir mana tapi lenjan sajalah buat muka tebal pusing litar. Part elemen titi dengan laluan tak rata memang fail teruk. Banyak kali duk mengulang-ulang elemen tu sampai menangis sebab taktau mana silapnya. Cikgu pun sampai taktau nak betulkan macammana sebab saya asik terkeluar je masa lalu laluan tak rata tu. Tangan takkuat agaknya. Cikgu suruh saya angkat dumbell kat rumah bagi kuat sikit nak pegang handle motor.


Tamat KPP01 dan KPP02

Panjang perjalanan lesen saya niii.. Akhir bulan 11 tahun 2021 macamtu barulah tamat semua kelas. Total kena ambil 16 jam kelas. Tapi sayang juga sebab banyak kelas jatuh pada hari hujan jadi kalau hari hujan memang cikgu takbagi bawa kat litar. Saya ada ambil tambahan kelas dalam 4 jam jugala sebab nak belajar lagi. Lepastu dah habis tambah masa kena pergi ujian JPJ. Sebenarnya masih belum layak pergi ujian JPJ. Tapi cikgu kata cuba jelah dulu.


JPJ kali pertama

JPJ kali pertama saya masa bulan 12 tahun 2021. Saat yang digeruni telah tiba. Memang rasa taklayak ambil ujian. Time ni perempuan berapa ketul jela. 3 orang saja. Lagi berapa puluh orang lelaki. Saya tak ingat giliran saya yang keberapa, tengah-tengah.

Mula-mula buat RPK. Lancar je semua ingat Alhamdulillah.

Lepastu ambil motor start dan bawa ke litar. Gabra sungguh la saya waktu ni. Bawa motor ke litar pun menggigil. Dugaan betul boleh pulak penyakit gemuruh datang. Lepastu time tunggu giliran pula enjin motor mati. Makinlah cuak dibuatnya..


Jadi seperti dijangka saya GAGAL ujian JPJ kali pertama. Gagal di elemen pertama iaitu titi. Bukan sebab takboleh buat. Sebab ketakutan yang melampau sebenarnya.


Bila dah gagal bahagian 2 terus masuk bahagian 3 iaitu jalanraya. Kena buat RSM dulu dan bawa motor keliling litar. Saya pun bawa dalam keadaan lemah dan sedih sebab dah gagal litar. hahah

Alhamdulillah jalanraya lulus dan selesailah ujian JPJ kali pertama.

Balik rumah mak tanya lulus ke tak terus menangis. Memang sedih asik nangis je haritu. Mental tak kuat. Rasa macam nak putus asa je.


JPJ kali kedua

Dah gagal JPJ, kena bayar berapa tak ingat lepastu dapat tambahan masa selama 2 jam. Fokus betul masa kelas tambahan ni sebab target memang nak kena lulus kalau tidak saya dah malas nak cuba lagi buat kali ketiga. Saya banyak tengok youtube dan baca artikel berkaitan ujian litar. Rasa bersemangat bila baca pengalaman orang lain lulus setelah gagal sekali. Malam sebelum ujian saya siap suruh ayah saya buat air penawar supaya hilang perasaan gemuruh.


Hari kejadian pun tiba.. Kalini saya lebih tenang. Banyak berdoa, berpuasa. Zikir tenangkan diri. Saya tawakal dan serahkan kepada Allah. Bermula dengan elemen titi. Alhamdulillah kalini saya dapat buat dengan baik. Setiap kali sebelum buat setiap elemen saya baca bismillah dulu dan berdoa. Saya rasa macam bukan saya yang bawak motor tu. Sebab memang dipermudahkan.  Sampai elemen yang saya takut iaitu laluan tak rata pun saya boleh buat dengan baik. Alhamdulillah Allah tolong saya.

Saya lulus ujian JPJ kali kedua. Sangat bersyukur dan gembira. Saya taksangka boleh juga dapatkan lesen. Rasa macam mimpi. Balik bagitahu mak, nampak muka mak bersyukur dan bangga. Ayah call tanya dan puji sebab dah berjaya.

Tambah tolak rasanya dalam RM700+ jugalah saya labur untuk dapatkan lesen. Sebab banyak tambah masa.


Dapat lesen P kelas B2

Dua minggu selepas lulus saya pergi kutip lesen di pejabat pusat belajar. Bawa balik sticker P. Ayah semangat tampalkan kat motor saya. Teruja agaknya.


Maka tamatlah cerita mengenai pengalaman saya mengambil lesen motor kelas B2. Semoga sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada sesiapa yang membaca.


Sedikit nasihat dari saya. Jangan pernah takut untuk mencuba. Keluarlah dari zon selesa. Cuba benda baru. Cari pengalaman baru. Lebih baik gagal setelah mencuba daripada gagal untuk mencuba.

Nanti saya cerita pengalaman saya mengambil lesen kereta pula ya. Akan datang InsyaAllah.


Sekian. Wassalam.